Pages

Thursday, May 6, 2010

Mashi- Sharing ♥


PERSATUAN Mi Segera Dunia (WINA) buat pertama kali akan menganjurkan Sidang Kemuncak WINA di Kuala Lumpur. Syarikat Nestle Malaysia akan menjadi penganjur sidang itu yang bertemakan ‘Makanan Dunia: Berusaha Menjayakannya’.
Sidang kemuncak ini akan diadakan pada 20 April hingga 21 April 2010. Lebih 120 delegasi negara anggota WINA akan berhimpun di ibu kota untuk membincangkan semua aspek meliputi ekonomi, alam sekitar, pemakanan, teknikal dan kesan sosial hasil revolusi yang dicetuskan mi segera.

Lebih menarik, sidang kemuncak kali ini diadakan pada tarikh ulang tahun kelahiran yang ke-100 pengasas mi segera dan WINA, iaitu mendiang Momofuku Ando yang turut menubuhkan syarikat gergasi mi segera Jepun, Nissin Foods Holdings Co Ltd. Objektif WINA yang ditubuhkan sejak sekian lama bertujuan memperkasa industri serta meningkatkan tahap pemakanan masyarakat dunia dengan memperbaiki kualiti mi segera selain meningkatkan jumlah pengambilan makanan ini.
Walaupun nampak remeh, mi segera sejak sekian lama telah menjadi sebahagian daripada rutin pemakanan masyarakat moden di seluruh dunia. Impak dan fenomena mi segera telah melanda negara kita seawal tahun 80-an melalui iklan yang berterusan di media massa. Daripada kanak-kanak sehingga orang dewasa menggemari produk popular itu.

Inovasi mi segera bermula di Jepun dan Momofuku Ando adalah penciptanya. Beliau juga dikenali di seluruh dunia sebagai ‘Mr Noodle’. Graduan Universiti Ritsumeikan ini menubuhkan syarikat Nissin Food Product Co pada 1948 selepas Perang Dunia Kedua bagi merealisasikan impian dan inovasi pemakanan ini. Inovasi ini membawa rahmat kepada seluruh dunia apabila teknologi serta penemuan baru makanan dicipta dan amat bermanfaat kepada manusia.

Momofuko mendapat ilham dan inspirasi penciptaan mi segera yang pertama di dunia ketika beliau melihat orang ramai beratur panjang untuk membeli mi ramen segar di sebuah gerai pasaran gelap ketika berlakunya kekurangan makanan selepas tamatnya Perang Dunia Kedua di negara matahari terbit itu. Ketika itu juga, rakyat Jepun digalakkan oleh kerajaan memakan roti putih yang diimport dari Amerika Syarikat yang jelas tidak begitu digemari rakyat Jepun. Maka atas selera, kehendak dan permintaan semasa, inovasi mi segera dimulakan Momofuku Ando.

Selepas produk Chicken Ramen yang diperkenalkan kepada umum pada 25 Ogos 1958 selepas melalui beberapa eksperimen, produk ciptaannya menjadi terkenal walaupun dijual pada harga RM1.04 (35 yen). Momofuku telah melebarkan sayap perniagaan globalnya dengan memperkenalkan Cup Noodle pada 18 September 1971. Produk mi segera dalam bekas stirofom kalis air yang hanya perlu disediakan dengan menuang sedikit air panas menjadi semakin popular dan membuktikan satu kaedah pemasaran terbaik ketika penduduk dunia semakin dihimpit kesibukan kerja harian.

Industri mi segera kian berkembang di seluruh dunia. Direkodkan pada 2004, hampir 70 bilion bungkusan berjaya dipasarkan. Momofuku semakin menjadi perhatian ramai apabila muncul di kaca televisyen pada 2005 untuk mempromosikan versi Cup Noodle yang membolehkan ia dinikmati angkasawan dalam kapal angkasa Discovery. Ini adalah kejayaan terbesar Momofuku kepada dunia produk makanan segera. Apa yang lebih istimewa ialah pada 1999, beliau turut membangunkan sebuah muzium khas mengabadikan sejarah peninggalan produk mi segera yang penuh sejarah untuk tatapan generasi akan datang. Muzium ini dibina di Osaka Jepun yang juga dikenali sebagai Muzium Momofuku Ando Instant Ramen.
Menyorot sejarah awal pembabitan dalam dunia perniagaan, beliau dilahirkan di Taiwan pada 1910 semasa pendudukan Jepun. Sebagai permulaan, beliau mengendalikan syarikat pakaian dan beberapa syarikat lain di Taipei dan Osaka pada awal kerjaya sebelum serius dalam industri mi segera. Hasilnya media Jepun dan di seluruh dunia memuji kejayaan, kehebatan dan kreativiti beliau membawa produk mi segera ke persada dunia perdagangan global hingga ke angkasa lepas.

Pasaran mi segera serta barangan makanan berasaskan mi semakin popular di Malaysia dan berdasarkan sumber industri, pasaran berkembang 1.6 peratus setahun bagi pelbagai produk berkenaan. Dengan kekukuhan ekonomi serta kestabilan politik, Malaysia menjadi tarikan utama pelaburan pelbagai barangan berasaskan makanan. Sepanjang 2006 sejumlah 76 projek dengan nilai pelaburan RM1.6 bilion diluluskan dan antara Januari hingga Mei 2007 pula, hampir 30 projek dengan nilai RM658.1 juta diluluskan.

Ketika ini produk berasaskan makanan menyumbang kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan jumlah pengeluaran oleh industri kecil dan sederhana (IKS) yang sebahagian besar dimiliki syarikat tempatan. Rata-rata produk IKS ketika ini termasuk produk mi segera diiktiraf sebagai pengeluar barangan berasaskan makanan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sektor berasaskan barangan makanan segera dilihat amat berdaya maju dan mampu memberikan pulangan tinggi sehingga banyak syarikat multinasional dunia tidak melepaskan kesempatan ini. Syarikat Nestle telah mengambil peluang dan ruang untuk melabur dalam sektor ini sejak 95 tahun lalu. Inovasi 'Air Dried Noodle Line' diperkenalkan, iaitu satu-satunya teknologi di dunia untuk pembuatan mi segera. Ia mengeringkan makanan berkenaan menggunakan udara berbanding menggorengnya sebelum ini.

Dengan pelaburan Nestle bernilai RM50 juta, melalui penggunaan teknologi kandungan lemak mampu dikurangkan antara 60 peratus hingga 80 peratus bergantung kepada resipi mi segera. Ini membantu memenuhi permintaan pasaran makanan segera tempatan, malah meningkatkan agihan pasarannya di Malaysia selain seluruh dunia.

Kejayaan Momofuku Ando melakukan inovasi baru dalam teknologi makanan segera global memberi manfaat kepada sebahagian besar penduduk dunia ketika ini dan akan datang. Pada 6 Januari 2007 ketika berusia 96 tahun, beliau meninggal dunia akibat diserang sakit jantung. Beliau meninggalkan kepada kita sebuah inovasi makanan yang cukup bermakna dan unik. Ketika hayatnya, beliau dianugerahkan 'The Order of the Rising Sun' oleh kerajaan Jepun bagi mengenang jasa dan baktinya pada 2002.

Momofuku Ando adalah modal insan sangat kreatif, komited dan wajar dicontohi semua negara. Kerajaan begitu menekankan aspek modal insan yang kreatif, inovatif dan mampu memberi nilai tambah kepada Model Ekonomi Baru (MEB). Oleh yang demikian, kejayaan Momofuku Ando diharap dapat memberi aspirasi kepada lebih ramai lagi modal insan kelas pertama yang akan terus mencipta serta melahirkan lebih banyak inovasi baru produk makanan halal di dunia.

cdt:Mohamad Sofee Razak
2010/04/05[myMetro]

+uwa.. tatau pon Momofuku Ando pengasas nye.. heheh.. *tau mkn je*

No comments: